Thursday, August 13, 2009

PPSMI- SETUJU @ TIDAK DITERUSKAN.

( PPSMI YANG DIANJURKAN OLEH TUN DR. MAHATDIR )

MESTILAH SETUJU...

Dalam zaman dunia tanpa sempadan ini, janganlah kita memperkecil-kecilkan kebolehan dan keupayaan anak-anak luar bandar untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa inggeris. Janganlah keadaan yang kita sendiri cetuskan menjadikan mereka merasa diri mereka rendah diri. Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa inggeris adalah atas dasar keperhatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi. Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa inggeris.

Pada pendapat saya PPSMI tidak perlu dimasuhkan dan mesti diteruskan dengan memberi peluang kepada anak-anak memperolehi sesuatu yang baik demi masa depan mereka. Kebaikan PPSMI tidak dapat dilihat dalam tempoh satu tahun. Ia merupakan kesan yang hanya akan dapat dilihat dalam jangka masa yang panjang yang akhirnya dapat dirasai oleh kita sendiri. PPSMI bukanlah bertujuan mendera pelajar, jauh sekali merubah pelajar Malaysia menjadi pelajar barat. Ia bertujuan untuk meningkatkan martabat bangsa dan negara kita. Saya berpendapat bahawa orang lain tidak dapat melihat apa yang difikirkan di minda Tun Dr. Mahathir ketika beliau merasakan bahawa PPSMI patut dilaksanakan suatu masa dahulu. Namun, beliau percaya bahawa PPSMI mampu mengangkasakan bangsanya ke suatu tahap yang mungkin tidak terduga kita. Jika memasuhkan PPSMI ini hanya membawa kita terkebelakang.


Dengan adanya PPSMI ini saya merasakan bahasa inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini. Selain daripada itu juga, saya merasakan di universiti kelak, tidak kira kita berbangsa melayu atau tidak, kita perlu juga belajar bahasa inggeris. Jika sudah tentu perlunya bahasa inggeris, kenapa tidak meluangkan masa untuk belajar sementara disediakan secara percuma oleh kerajaan. Saya merasakan alangkah lebih baik jika orang melayu mengembangkan pendidikan dan pelajaran berbanding mempertahankan bahasa melayu yang sememangnya digunakan lebih 60% penduduk malaysia. Saya berpendapat PPSMI ini bukanlah untuk merendah-rendahkan martabat bangsa melayu ini adalah untuk mengajar anak-anak bangsa kita lebih maju dan berkeyakinan pada masa hadapan. Dengan cara ini juga anak bangsa kita dapat mempelajari dengan lebih mendalam. Selain dari itu cadangan yang dikemukan oleh Tun Dr. Matahir adalah bagus untuk anak bangsa kita yang berada di pendalaman mempelajari semua ini. Sampai bila kita di luar ini hendak melihat mereka terus kolot dalam pembelajaran ini. Mereka pun ada cita-cita dan masa hadapan yang cerah.


Pembelajaran sains dan matematik dalam inggeris merupakan tindakan yang lebih baik kerana ia dapat melahirkan pemuda-pemudi yang dapat bersaing dengan negara lain. Serta kerajaan harus menyediakan kursus-kursus tertentu untuk guru-guru supaya mereka dapat menyesuaikan diri dalam menggunakan bahasa inggeris untuk mengajar. Ini amat penting supaya murid dapat memahami pengajaran cikgu dengan lebih baik.

Misalnya, dari catatan saya, saya dapati dapatan Ujian Penilaian Tahap Profesiensi (PTP) ke atas guru Bahasa Inggeris (salah satu daripada 16 kajian yang dibentangkan dalam Persidangan Meja Bulat PPSMI Pertama) yang dibentangkan menunjukkan bahawa peratus guru yang berada di tahap profisien pada tahun 2007 adalah sebanyak 32 % manakala yang berada di bawah tahap profisien adalah sebanyak 68 % tetapi pada tahun 2008 peratus yang berada di tahap profisien ini sudah meningkat ke tahap 64 % dan yang berada di bawah tahap profisien pula menurun kepada 36 % ; bermaksud ada peningkatan yang signifikan sebanyak 32 %. Manakala catatan saya mengenai keputusan Ujian Diagnostik pada tahun 2006 dan 2007 misalnya, menunjukkan peratus pelajar yang memerlukan pemulihan dalam pelbagai konstruk telah menurun. Sebagai contoh, bagi konstruk Memahami Soalan dalam Bahasa Ingeris bagi subjek sains, peratus pelajar yang menghadapi masalah menurun sebanyak 13.2 % . Manakala bagi konstruk Menguasai Konstruk Pengetahuan bagi subjek matematik, peratus pelajar yang menghadapi masalah juga telah menurun sebanyak 20.2 % . (Nota: jika dibaca sebagai peningkatan pencapaian, adalah peningkatan pencapaian sebanyak 13.2 % dan 20.2 % ).
Walau bagaimanapun, saya tetap menyokong PPSMI sepenuhnya. Saya berpendapat bahawa ini merupakan satu langkah yang boleh memajukan kita secara tidak langsung. Kita haruslah berpandangan jauh. Ini merupakan satu titik permulaan bagi kita melangkah untuk mencapai sesuatu yang lebih maju dan cemerlang.
Kesimpulannya, keputusan dasar untuk melaksanakan PPSMI bertujuan memastikan penguasaan yang lebih baik dalam sains dan matematik di kalangan murid memandangkan sebahagian besar sumbernya adalah dalam bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, pelaksanaan PPSMI diharapkan akan turut meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.


No comments:

Post a Comment